Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam dan bintang Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan telah sepakat supaya penggambaran filem berjudul “Happy New Year” tahun depan diadakan seratus peratus di Melaka.

Bercakap kepada Agendadaily semasa makan tengahari sebaik selesai majlis penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada aktor itu dalam satu istiadat ringkas di Seri Negeri, hari Sabtu, Mohd Ali berkata, beliau juga akan mengemukakan cadangan kepada Shah Rukh Khan supaya judul filem itu diubahsuai kepada “New Year In Melaka”.

“Jika tidak seratus peratus pun, saya akan mencadangkan kepadanya supaya hampir keseluruhan penggambaran filem itu diadakan di Melaka. Ini sudah pasti akan meningkatkan lagi industri pelancongan negeri ini,” tambahnya.

Terdahulu, semasa sidang akhbar yang diadakan selepas menerima anugerah DMSM, Shah Rukh mengumumkan beliau akan membintangi sebuah filem yang bertujuan mengetepikan salah faham masyrakat dunia mengenai Islam.

Filem yang berjudul “My name is Khan” itu akan menjalani penggambaran di Amerika Syarikat awal tahun depan.

“Saya berharap menerusi filem ini saya dapat menjelaskan bahawa agama Islam tidak berkait dengan keganasan. Saya mahu menjelaskan konsep jihad dengan cara yang baik. Filem ini akan diarahkan oleh pengarah terkemuka Bollywood, Karan Johar dan saya kemungkinan akan bergandingan dengan Kajol,” katanya.

Dalam sidang akhbar itu juga Mohd Ali berkata, Shah Rukh Khan telahpun menyuarakan kesediaannya untuk membantu kerajaan negeri Melaka memajukan industri perfileman di negeri itu.

“Kami telahpun menyediakan sebuah studio animasi di Rumah Media Melaka dan akan menambah beberapa kemudahan teknikal, antaranya membina sebuah studio penggambaran.

“Shah Rukh Khan telah bersetuju membantu di segi memberi khidmat nasihat dan rundingan. Kami akan menghantar lima orang pegawai teknikal ke India untuk dilatih di sana,” tambah Mohd Ali.

Sebelum sidang akhbar berakhir, Shah Rukh Khan berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri Melaka dan juga rakyat Malaysia kerana menghargai sumbangannya dalam industri seni. “Anugerah yang saya terima ini bukan sahaja untuk saya, tetapi juga rakyat India,” katanya. – 6/12/2008